:
Sejarah Penubuhan


SEJARAH PENUBUHAN

Madrasah tahfiz ini ditubuhkan pada tahun 1990 di atas cadangan mudir Madrasah Manabi’ul Ulum, Tuan Guru Haji Soleh bin Syaikh Osman Jalaluddin. Bangunan madrasah ini berasal daripada sebuah rumah di dalam tanah seluas lebih kurang ¼ ekar beralamat No. 3268, Mukim 19, Mengkuang Titi.

      Sehingga kini terdapat sebuah bangunan untuk asrama, kelas pengajian hafiz dan surau. Empat buah bangunan untuk asrama dan kelas pengajian kitab. Pada tahun 2004 madrasah telah membeli satu ekar tanah berkembar dengan tapak yang sedia ada dengan  sumbangan daripada orang ramai. Sehingga sekarang Madrasah telah membina empat unit rumah guru di atas tanah tersebut dan sebuah bangunan untuk kelas pengajian kitab.

       Pengajian hafiz bermula dengan seorang guru dan tujuh orang pelajar. Setelah itu kelas tersebut mula mendapat sambutan dengan bertambahnya bilangan para pelajar dari semasa ke semasa. Lepasan huffaz yang pertama dihasilkan pada tahun 1996. Para pelajar tersebut kemudiannya telah melanjutkan pelajaran mereka ke madrasah-madrasah yang lain di dalam dan luar negera. Sejak itu Madrasah telah menghasilkan purata lima orang hafiz setiap tahun. Pada tahun 2004 terdapat enam kelas hafiz yang dikendalikan oleh enam orang guru dan setiap kelas mengandungi sepuluh orang pelajar. Setiap tahun pada bulan ramadhan madrasah akan menghantar pelajar –pelajar hafiz kepada  lebih 15  buah  masjid dan surau di sekitar Seberang Perai ,Pulau Pinang  dan Kulim, Kedah  untuk menjadi imam terawih khatam tiga puluh juzuk.

    Di samping itu terdapat juga permintaan untuk pengajian ilmu islam dan bahasa arab dari orang ramai. Dengan itu setelah dimesyuaratkan madrasah telah memulakan pengajian ilmu islam dan bahasa arab pada akhir tahun 2000. Pada permulannya madrasah menyediakan pengajian sehingga tahap tujuh sahaja tujuh iaitu tahap yang diajar kitab hadith Miskatul Masobih (sebuah kitab hadith permulaan untuk mempelajari “Sihah Sittah”) kemudian mereka dihantar ke Madrasatul Quran Kubang Bujuk Serada , Kuala Terengganu untuk pengajian dauratul hadith di sana.

       Pada tahun 2012 buat pertama kalinya aliran pengajian ilmu-ilmu islam dan bahasa arab telah mewujudkan kelas Dauratul Ahadith . Dauratul Ahadith ialah pengajian kitab “Sihah Sittah “ iaitu enam buah kitab hadith yang sohih yang terdiri daripada : SAHIH BUKHARI ,SAHIH MUSLIM , JAME` TIRMIZI , SUNAN ABI DAUD, SUNAN IBNU MAJAH DAN SUNAN NASAI`. Seramai enam orang pelajar telah menamatkan pelajaran mereka  sehingga ke peringkat ini pada kali  pertama. Pada tahun-tahun yang mendatang madrasah akan terus mengeluarkan hafiz-hafiz ,ulama dan dai`-dai` yang akan menyebarkan agama keseluruh alam.

              Terkini pada tahun 2019 pihak madrasah dalam proses membeli tanah seluas satu ekar berkembar tanah sedia ada untuk menampung penambahan pelajar yang semakin meningkat serta sedang giat menyiapkan bangunan baru pengajian.